SELAMAT DATANG KE PORTAL PSS SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KAMPUNG NYIUR

Monday 22 August 2011

Soalan Lazim mengenai PSS


Apakah itu Pusat Sumber Sekolah?
Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan pusat perkhidmatan akses maklumat bersepadu yang mengandungi pelbagai sumber pendidikan dalam bentuk bahan cetak, bukan cetak dan digital. PSS perlu diurus secara sistematik dan efisyen bagi tujuan memupuk tabiat membaca, literasi maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Secara asasnya Pusat Sumber Sekolah merangkumi :
  • Perpustakaan
  • Bilik ABM
  • Bilik APD
  • Makmal Komputer
  • Pusat Akses
  • Sudut/ruang yang disediakan didalam kawasan sekolah (taman ilmu, taman sains)
Pembangunan Pusat Sumber Sekolah adalah amat memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak dalam komuniti sekolah.

Apakah halatuju pusat Sumber Sekolah di Malaysia?
Program dan halatuju PSS di Malaysia adalah sejajar dengan perkembangan ICT masa kini. PSS kini bukan hanya terdiri daripada bahan cetak semata-mata (buku, surat khabar, jurnal, majalah) malah merangkumi bahan berbentuk elektonik dan digital (courseware, e-bahan, eduweb TV, e-book, audio book, e-jurnal, newspaper online).

Program dan halatuju PSS tidak boleh lari daripada dua dokumen berikut:
  • The School Library Manifesto: The school library in teaching and learning for all (IFLA/UNESCO 2000)
  • The IFLA/UNESCO School Library Guidelines (2002)
Kedua-dua dokumen ini menjadi asas kepada perancangan dan pembangunan PSS di Malaysia.

Apakah program utama Pusat Sumber Sekolah?

Terdapat dua program utama PSS iaitu program galakan membaca dan literasi maklumat. Semua aktiviti yang dirancang perlu menjurus ke arah pelaksanaan program ini.

Bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan program PSS diselaraskan, Surat Pekeliling Ikhtisas berikut perlu dipatuhi dan dijadikan panduan:

·        Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.9/1983  
Perpustakaan Sekolah bertarikh 27 Disember 1983

·        Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.4/1988
Kegiatan Khas Bagi Tahun Pembaca 1988 bertarikh 20 Januari 1988

·        Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.13/1998
Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998

·     Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.10/2000
Tahun Pusat Sumber Sekolah (PSS) bertarikh 20 April 2000

·        Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.12/2001
Gerakan Membaca di Sekolah-sekolah Melalui Persatuan Perpustakaan Sekolah
Peringkat Negeri bertarikh 19 November 2001

·       Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/2003
Dasar Penggunaan Media dan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran bertarikh 28 Julai 2003.
·        Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2005
Memantapkan Budaya Membaca Di Kalangan Murid Sekolah bertarikh 12 Mei 2005

Program Galakan Membaca
Program galakan membaca perlu dilaksanakan kerana budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat dapat dibina melalui amalan membaca yang berterusan.
Bagi memantapkan program galakan membaca, Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan pendekatan pembacaan secara terancang melalui program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca).

Literasi Maklumat
Program literasi maklumat perlu dilaksanakan untuk menyedia dan melengkapkan murid dengan kemahiran tertentu yang diperlukan bagi menghadapi kehidupan sebenar.

Aspek kemahiran yang perlu diberi penekanan dalam literasi maklumat adalah seperti berikut:
  • Pentafsiran maklumat
  • Penghasilan produk yang berkualiti
  • Pembelajaran kendiri
  • Penglibatan secara aktif sebagai ahli kumpulan kerja
  • Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi secara bertanggungjawab
    dan beretika
Kemahiran yang menyumbang ke arah pencapaian matlamat literasi maklumat adalah seperti berikut:
  • Kemahiran belajar secara kendiri
  • Kemahiran bekerjasama
  • Kemahiran merancang
  • Kemahiran mencari dan mengumpul
  • Kemahiran memilih dan mentafsir
  • Kemahiran menyusun dan merekod
  • Kemahiran komunikasi
  • Kemahiran menilai
Literasi maklumat perlu dilaksanakan oleh GPM dan semua guru mata pelajaran secara :
  • modular
  • integrasi / merentas kurikulum
Bagaimanakah merancang kewangan di Pusat Sumber Sekolah?
Pengetua / Guru Besar perlu memaklumkan jumlah PCG dan Yuran Khas Sekolah yang diterima bagi tahun semasa kepada GPM bagi membolehkannya merancang aktiviti tahunan yang dapat dimanfaatkan oleh warga
sekolah.

Rancangan belanjawan perlu dirancang secara teliti berdasarkan rancangan pembangunan jangka panjang dan rancangan tahunan PSS. Laporan kewangan tahunan mestilah mengambarkan penggunaan kewangan PSS dan pencapaian objektif.

Rancangan belanjawan perlu merangkumi komponen-komponen berikut:
  • Jumlah kewangan tertentu untuk sumber baru (contoh: buku, majalah dan bahan bukan bercetak); sejumlah kewangan untuk bahan promosi (contoh: poster)
  • Jumlah kewangan tertentu untuk alat tulis dan bahan pentadbiran
  • Jumlah kewangan tertentu untuk aktiviti galak guna dan promosi
  • Kos untuk kegunaan dan penyelenggaraan peralatan teknologi maklumat
    dan komunikasi
Apakah sumber kewangan Pusat Sumber Sekolah?
Sumber kewangan Pusat Sumber Sekolah terdiri daripada:
  • Geran Bantuan Per kapita (PCG)
  • Yuran Khas Sekolah
  • Sumbangan PIBG
Geran Bantuan Per Kapita (PCG)
Geran Bantuan Per Kapita (PCG) PSS bagi sekolah rendah dan sekolah menengah ditetapkan oleh Bahagian Kewangan, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Panduan dan tatacara perbelanjaan PCG hendaklah merujuk kepada :
  • Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 8 Tahun 2010 - Garis Panduan Pengurusan Kewangan Peruntukan Bantuan Persekolahan Kepada Sekolah Berdasarkan Per Kapita Murid bertarikh 24 Disember 2010
  • Surat Pemberitahuan Ralat SPK Bilangan 8 Tahun 2010 bertarikh 17 Januari 2011
ATAU
  • Pekeliling Kewangan yang sedang berkuat kuasa
Kadar PCG meliputi perbelanjaan bagi PSS seperti berikut:
  • Pembelian peralatan kecil dan bahan habis guna bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran
  • Pembelian buku, perisian dan lain-lain yang bersesuaian untuk pengajaran dan pembelajaran
  • Penyelenggaraan peralatan termasuk komputer yang digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran
  • Program berunsurkan pendidikan yang boleh memberi pengukuhan kepada proses pengajaran dan pembelajaran
  • Program Pendidikan Khas Integrasi – Melengkapkan stesen pembelajaran bagi program pendidikan khas integrasi
  • Perolehan / pembelian Harta Modal adalah dibenarkan dengan menggunakan peruntukan PCG mata pelajaran dan bukan mata pelajaran bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran
Peruntukan PCG bagi tahun semasa perlu dibelanjakan secara optimum

Yuran Khas Sekolah
Yuran Khas Sekolah ialah peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada sekolah. Sekolah rendah menerima RM 4.50 bagi setiap murid manakala sekolah menengah menerima RM 9.00 bagi setiap murid.

Peruntukan ini digunakan untuk program dan aktiviti PSS, pendidikan jasmani dan pendidikan seni.
  • Rujuk Surat Pekeliling Kewangan Bil.3/2008: Peruntukan Yuran Khas
    Sekolah bertarikh 7 Januari 2008.
Sumbangan PIBG
PSS boleh memohon sumbangan daripada PIBG bagi membangun dan meningkatkan kualiti perkhidmatan PSS.

Bagaimanakah menilai keberkesanan Pusat Sumber Sekolah?

Petunjuk prestasi ialah alat pengukuran yang digunakan untuk memantau dan menilai pencapaian prestasi.
Petunjuk prestasi yang boleh digunakan untuk memantau dan menilai pencapaian prestasi PSS adalah seperti berikut:

Petunjuk penggunaan
  • Pinjaman oleh setiap warga sekolah
  • Jumlah pengunjung
  • Pinjaman setiap bahan (contoh: pertukaran bahan)
  • Pinjaman setiap waktu operasi (contoh : semasa dan selepas waktu
    sekolah)
  • Pertanyaan rujukan oleh warga sekolah
  • Penggunaan bilik dan peralatan
Petunjuk sumber
  • Nisbah koleksi buku untuk setiap murid
  • Nisbah komputer bagi setiap murid
Petunjuk kualitatif
  • Aduan dan maklum balas pelanggan
  • Keceriaan
  • Ciri-ciri Keselamatan
Petunjuk kos
  • Kos bagi melaksanakan program dan aktiviti PSS
  • Kos bagi perolehan bahan daripada jumlah PCG
  • Kos bagi promosi PSS
  • Kos untuk pembelian hadiah galakan membaca
  • Kos untuk pembangunan PSS
  • Kos untuk keceriaan PSS
Petunjuk perbandingan
  • Perbandingan data penarafan PSS antara sekolah ahli Pusat Kegiatan Guru
  • Perbandingan jumlah penggunaan PSS dan pinjaman bahan antara PSS
    Sekolah A dan Sekolah B


PENAFIAN

Admin Blog ini tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada blog ini.
Hakmilik © 2012